f

f

Saturday 28 December 2013

JIN SIHIR 18 TAHUN + ULAR MATI + HEMPEDU BUAYA

Assalamualaikum.

Agak lama saya tidak up-date blog rawatan saya ini. Agak ramai pesakit yang datang ke pejabat saya kebelakangan ini terutama keluarga bekas peserta kem saya. Post kali ini saya hendak menceritakan susulan rawatan kes peserta saya di kem. Ingat lagi kisah mata merah dalam post saya yang lepas. Keluarga peserta ini datang buat rawatan susulan untuk ibunya.

Saat si ibu ini masuk ke dalam pejabat, saya mendapati wajahnya pucat. Beliau bagaikan ketakutan untuk melihat saya. Maklumat yang saya dapat dari suaminya, isterinya dalam seminggu sebelum bertemu saya telah mengalami sakit-sakit di seluruh badan. Dan semasa dalam perjalanan dari Taiping ke pejabat saya, si isteri mengalami kembung perut seperti busung. Sekejap kembung sekejap surut.

Tanpa melengahkan masa, saya mengarahkan si ibu terus duduk di lantai dan melunjur kaki. Dalam hati saya, saya mengagak akan kerasukan harimau. Selepas si ibu ini memejamkan mata, saya membacakan BismilLah dan terus memanggil jin yang dalam badan si ibu untuk berdialog. Kemudian si ibu ini kerasukan dan mengangguk kepalanya sebagai tanda kehadiran jin.

Saya jangkakan si ibu ini akan beraksi seperti harimau sama macam anak perempuannya semasa di kem. Tetapi aksi yang berbeza dibuat si ibu. Tangannya seperti sedang menari ala tarian perempuan Siam. Terus saya mengasak soalan, kamu jin sihir?! Jin mengaku jin sihir dan bukan saka harimau.

Saya mengasak lagi soalan, kamu nak keluar atau tidak?! Jin menjawab dengan suara dalam lagi garau, aku tak nak keluar! Saya terus mencapai kayu rotan saya dan memulakan sesi 'membelasah' jin tersebut melalui medium bantal. Tersentap-sentap badan jin ini kesakitan. Tetapi jin ini berlagak tak nak tunjuk dia sakit.

Saya cukup suka kalau berhadapan dengan jin degil seperti ini. Saya terus mengambil peluang menyampaikan dakwah Islam walaupun berkali-kali jin ini menolak untuk memeluk Islam. Setelah beberapa kaedah penyeksaan saya lakukan akhirnya jin ini mengaku kalah dan menceritakan perkara sebenar. Jin ini bersedia untuk memeluk Islam dan membuang semua barang sihir yang ada pada si ibu selama 18 tahun!

Selepas memeluk Islam, jin memulakan sesi membuang barang sihir. Dan saya amat kasihan melihat jin ini kesakitan membuang barang sihir berupa 'hempedu buaya' di bahagian perut si ibu. Melolong-lolong dan terguling-guling jin ini berusaha menolak naik hempedu buaya dari perut naik ke mulut dan terus muntah berkali-kali. Seperti ketulan daging yang kekuningan yang keluar.

*Gambar muntah sebenar.

Bukan itu sahaja, segala paku, debu mayat, kaca dan jarum diletaknya pada seluruh badan si ibu. Selesai membuang barang sihir yang agak lama, jin ini saya arahkan menarik semua kumpulan jin sihir yang ada pada suami dan anak perempuannya. Amat mengerikan melihat cara jin ini menarik keluar jin-jin dalam badan suami dan anaknya. Iaitu dengan menyedut melalui mulut ke beberapa bahagian badan suami dan anaknya! Setiap kali menyedut, setiap kali itulah dia muntah.

Setelah selesai menyedut dan semua barang sihir dibersihkan, saya memulakan sesi untuk menghantar jin ini ke Madinah. Jin ini sempat meminta maaf kepada suami atas semua perbuatannya. AlhamdulilLah, sesi memindahkan jin ini berjalan lancar.

Si ibu kemudian sedar. Dan beliau memberitahu nampak si pelaku semasa dia kerasukan. Iaitu bekas........(rahsia).

Setelah mereka pulang ke Taiping, si ibu ini menelefon saya memberitahu semasa sesi rawatan pada pagi Jumaat tersebut waktu yang sama saudara mereka di Taiping menjumpai seekor ular besar yang mati depan pintu rumah mereka. Badan ular itu dipenuhi dengan pukulan dan luka-luka. Mungkin kesan rotan yang saya belasah pada bantal masa sesi rawatan dilakukan. Wallahu'alam.


Ular memang kerap digunakan sebagi medium sihir.

*Semasa saya soal-siasat, jin mengaku bahawa dalam keturunan si ibu memang ada saka harimau.

Friday 6 December 2013

MENAGIH DADAH 5 TAHUN DAN BERHENTI MENAGIH SEKELIP MATA HANYA DALAM SATU MALAM SAHAJA !!


5 Dis saya menerima kes seorang anak muda lelaki usia 20 tahun yang mengalami gangguan misteri. Ibu bapanya menceritakan kepada saya, mereka baru sahaja tahu pelbagai cerita dahsyat anak mereka ini selepas Hari Raya Idulfitri yang lalu.

Rupanya si anak mengakui telah terlibat dengan najis dadah sejak usia 15 tahun! Dan beliau pandai menyimpan kegiatannya daripada pengetahuan pihak keluarga.

Pada satu hari selepas hari raya, si anak yang buruk akhlak secara tak semena-mena menjadi seorang anak yang teramat soleh dan baik dengan ibu bapanya. Solat 5 waktu tak tinggal, malah solat sunat rawatib menjadi kewajipannya. Solatnya pula terlalu lama dan penuh khusyuk. Solat tahajud setiap malam dan solat dhuha setiap pagi menjadi amalannya.

Sikap kasarnya yang sebelum ini berubah menjadi anak yang penuh kasih sayang dengan pihak keluarga. Semuanya berlaku dalam masa satu hari sahaja! MALAH KETAGIHAN DADAH SELAMA 5 TAHUN ITUPUN HILANG DALAM MASA 1 MALAM SAHAJA!

Saya teramat terkejut mendengar cerita si anak dan disahkan oleh kedua ibu bapanya. Tak pernah selama saya terlibat dalam pemulihan ketagihan dadah menjumpai kes seperti ini.

Sepanjang menemubual remaja ini saya lihat beliau asyik senyum. Bahasanya penuh sopan santun dan beradab dengan ibu bapanya. Bagi saya ada sesuatu yang masih belum terungkai. Lalu saya bertanya kepada remaja ini, "Yang dalam badan kamu dia cakap apa sekarang?"

Dia kata, "Bodoh kamu cerita semua! Balik sekarang!"

Memang tepat jangkaan saya ada jin dalam badan remaja ini. Dipendekkan cerita setelah menemubual panjang remaja ini, beliau sentiasa mendengar suara-suara halus di telinganya dan di hatinya. Semuanya mengajak kepada perkara yang negatif. Bagaimanapun remaja ini masih boleh bertahan untuk tidak terpengaruh dengan segala ajakan dan hasutan suara tersebut.

Saya meminta kedua ibu bapanya memejamkan mata sebentar. Dan saya dapati kedua ibu bapanya turut sama dihuni jin. Saya membuktikan kebenaran kata-kata saya dengan meruqyah pendek si ibu. Selepas beberapa ketika tangan kanan si ibu mula bergerak sendiri tanpa dapat dikawal !

"Benar kamu kumpulan ULAR?!" soal saya.

Tangan kanan si ibu mengiyakannya! Saya telah syak ini perbuatan ular berdasarkan maklumat yang saya dapat sepanjang interview.

Saya tidak meneruskan rawatan, sebaliknya saya berikan beberapa amalan DIY untuk di buat di rumah dan selepas seminggu datang semula berjumpa saya.

Wednesday 4 December 2013

JIN CERAMAH DI KEM SAYA !!

Kisah di SURVIVOR CAMP MALAYSIA Siri 32
24-28 Nov 2013.


Semasa saya menjalankan kem baru-baru ini, ada seorang peserta lelaki umur 20 tahun yang agak murah senyuman. Bagaimanapun senyumannya itu menjentik hati saya seakan menyembunyi wajah lain yang agak menyeramkan. Saya abaikan gerak rasa hati saya itu.

Rupa-rupanya telahan saya itu tepat tatkala sesi ruqyah dijalankan, peserta lelaki ini mula meliuk-lentuk badannya seperti seekor ular! Badannya ke kiri ke kanan dan sekejap tunduk sekejap menegak.

Saya mendekati peserta yang kerasukan ini dan cuba berbual dengan jin di dalam badannya. Bagaimanapun jin ini tidak mahu berbicara secara langsung dengan saya. Hanya memberikan jawapan kepada peserta ini dan peserta ini memberitahu saya. Segala carut-marut, cerca-nista dan maki-hamun dilontarkan kepada saya juga termasuk peserta ini. Saya tangguhkan urusan rawatan ke atas peserta ini kerana hendak berkenalan dengan lebih lanjut pada masa lain dan kebetulan ada peserta lain yang agak kritikal memerlukan bantuan saya.

Pada sesi yang lain, saya cuba berbual secara personal dengan jin dalam badan peserta ini. Daripada perbualan ini, saya mendapati gangguan jin ini terlalu teruk dan begitu menguasai hati peserta ini. Bagaimanapun saya mendapati peserta ini masih ada sisa untuk melawan gangguan ini walaupun keadaannya agak menyedihkan.

Pernah satu ketika semasa saya menjalankan operasi 'penyembelihan' jin ke atas semua peserta yang positif jin, tiba-tiba peserta lelaki ini mula membebel dengan kawan-kawan di sekitarnya. Isi bebelannya itu lebih menjurus kepada nasihat dan teguran atas apa yang dia nampak perbuatan mereka di kem. Arahan saya semasa sesi ini ialah hanya duduk bersila dan mendengar sahaja ruqyah dan arahan saya.

Peserta yang kerasukan ini bukan sahaja membebel malah bangun berdiri di hadapan kawan-kawannya dan mula memberikan ceramah tanpa mempedulikan saya yang melihatnya. Gelihati saya saat itu kerana pertama kali dalam sejarah kem saya ada jin datang nak ceramah macam saya :)

Selepas puas ceramah, dia menarik satu persatu beberapa kawan-kawannya berdiri sama di hadapan dan menasihatkannya. Saya hanya membiarkannya sahaja, asalkan jangan mengamuk dan buat hal sudah.

Maaf saya tidak dapat menghuraikan dengan detail punca peserta ini dijangkiti gangguan untuk menjaga aibnya.

Tuesday 3 December 2013

HARIMAU JAWA DAN MATA MERAH DI KEM SAYA !!

Kisah di SURVIVOR CAMP MALAYSIA Siri 32
24-28 Nov 2013.

*Saya sedang mengunci harimau Jawa.

Seperti biasa saya akan meruqyah kesemua peserta kem saya pada hari Isnin. Ketika bacaan ruqyah dibacakan ada beberapa peserta mula terkesan. Jin dalam badan mereka mula gelisah dan tidak tenteram. Gejala ringan ini dapat saya rasakan berlaku kepada kebanyakan peserta. Itu petanda yang baik. Rancangan saya ialah ruqyah akan diteruskan pada setiap hari. Di samping ayat-ayat Al-Quran yang berupa pukul, bakar dan baling untuk menyiksa jin akan menjadi zikir harian para peserta kem saya.

Pada masa ruqyah ini dibacakan, ada seorang peserta perempuan usia 18 tahun mula nak mengganas. Saya spray air ruqyah beberapa kali ke wajahnya. Dan terus beliau meronta menepis tangan saya dengan kasar. Saya mula memegang tengkuknya untuk melemahkan kekuatannya. Bagaimanapun saya kurang upaya kerana jin ini teramat kuat. Terus saya minta bantuan fasi lelaki datang membantu. Kedua fasi saya memegang beliau dan jin ini masih mampu menolak dan mengangkat kami bertiga.

Saya dapat meneka jin ini seekor harimau melalui gaya tangannya yang mencengkam dan asyik mencakar tangan saya sampai berdarah. Saya tahu kelemahan jin harimau ini terutamanya di pinggang dan tapak kaki. Jin menjerit-jerit kesakitan apabila saya tusuk jari di kedua tempat tersebut.

Jin ini jin kafir agama Buddha dan berasal dari tanah Jawa sebelah keturunan ibunya. Mereka ini asal dari Taiping Perak. Saya tangguhkan urusan dengan jin harimau ini dengan beberapa ayat pelemah dan menidurkannya.

Sesi peserta perempuan ini saya teruskan pada hari Rabu. Selesai meruqyah beliau, saya ikat makrifat beliau dengan potongan ayatul Quran. Kemudian saya cabar jin harimau untuk membukanya. Jin ini berusaha dengan sedaya-upayanya untuk membuka ikatan yang saya buat. Akhirnya jin ini berjaya membukanya! Bagi saya jin ini memang kuat dan bukan calang-calang jin. Kerana biasanya jin tidak akan boleh bergerak lagi setelah diikat. Tanpa membuang masa, saya terus merebahkan peserta ini sebelum perkara tidak diingini berlaku lantas makrifatkan ibu jari tangan kanan saya yang telah saya bacakan ruqyah sebagai pedang yang tajam dan menyembelih leher jin pada leher peserta ini. AlhamdulilLah...selesai. Peserta ini sedar dan keletihan. Beliau merasakan badannya amat ringan.

Bagaimanapun selepas saya selesaikan jin-jin lain yang mengganggu kawan-kawannya, beliau datang meluru berjumpa saya memberitahu kedua matanya berdarah! Masya Allah...terus saya minta fasi bawakannya ke Hospital Pakar An-Nur Bangi.

*Mata peserta ini menyamai mata gambar di atas.

Laporan yang saya dapat ialah, doktor pakar mengesahkan urat matanya pecah dan berdarah. Kata doktor, puncanya ialah beliau telah menggunakan kekuatan yang luarbiasa sampai menyebabkan urat matanya berdarah. Rupanya beliau telah menggunakan tenaga yang terlalu kuat saat hendak memutuskan ikatan yang saya telah lakukan semasa rawatan.

Bagaimanapun doktor mengatakan kes ini tidak serius. Doktor memberikan ubat titik sahaja dan mata peserta ini akan pulih semula tetapi mengambil yang agak panjang.

Saya akan teruskan rawatan ke atas keluarganya selepas tamat kem nanti.

120 ORANG PESERTA SURVIVOR CAMP MALAYSIA 24-28 NOV 2013 !!

*Klik gambar untuk besar.

AlhamdulilLah seramai 120 peserta kem saya baru-baru ini pada 24-28 Nov 2013. Pelbagai kisah berlaku dalam kem kali ini. Terutamanya yang berkaitan dengan gangguan jin. Ikuti blog saya untuk kisah-kisah mistik di kem saya ini. Penangan jin antara punca besar anak bermasalah akhlak!!