17 Nov jam 11 pagi saya menerima satu keluarga dari Seri Kembangan. Keluarga ini membawa anak perempuan usia 13 tahun yang cukup kasar bahasanya. Bahkan boleh saya katakan teramat kurang ajar mulutnya. Anak ini telah 2 tahun bersikap kurang ajar dengan mak ayahnya.
Manakan tidak saya katakan kurang ajar. Depan saya, mak ayahnya disumpah-seranah dan dimaki-hamunnya. Perkataan perempuan jahat, si*l, b*bi bagaikan menjadi zikir di mulutnya. Bukan sahaja mencarut bahkan mulutnya amat bising bertempik-tempik bagaikan peluru mesingun. Ayahnya yang sudah hilang sabar dengan kerenah anaknya langsung didebik dan dibelasah anak perempuannya depan saya. Memang saya sudah jangka, si ayah akan melaku demikian. Kalau anak saya memang saya 'bagi' juga. Kerana tidak tertanggung bisa-bisa ayat yang dihamburkan kepada kedua mak ayahnya. Dan saya menjangkakan memang 100% ada gangguan kerana bahasa yang dikeluarkan tidak setanding dengan usia mudanya baru 13 tahun.
Isteri saya menarik si anak pergi ke ruang lain jauh daripada mak ayahnya. Isteri saya slow-talk dengannya dengan mengugut untuk menghantarnya masuk ke pusat pemulihan akhlak. Tujuan isteri saya buat begitu, untuk bagi sedikit ruang bertenang agar saya dapat meruqyahnya tanpa beliau terjerit-jerit tak menentu.
AlhamdulilLah, si anak mula bertenang dan dapat saya memulakan sesi meruqyah. Saat si anak pejam sahaja mata terus dapat saya rasakan kehadiran jin pengganggu. Mata si anak ini terkedip-kedip dengan laju. Saya langsung membacakan ayat-ayat ruqyah dengan suara lantang dan kuat. Sehinggalah mata si anak kembali normal. Ini tanda jin telah keluar atau mati.
Selesai meruqyah, si anak mula kendur dan saya serta ibu bapanya memberikan beberapa syarat yang wajib dipatuhi. AlhamdulilLah si anak bersetuju untuk mengikutinya.
Keesokan harinya saya mendapat sms daripada ayahnya memberitahu saya anaknya kembali normal setelah 2 tahun memberikan masalah! Bi'iznilLah...