f

f

Sunday, 26 January 2014

SAMBUNGAN LAGI 'KAOTIM DENGAN JIN BUNIAN'. KALI INI DENGAN KETUA BUNIAN !!


Baru-baru ini saya dihubungi oleh En A tuan rumah kes jin bunian yang mengganggu orang gaji di rumahnya. Beliau memaklumkan kepada saya bahawa orang gajinya diganggu lagi. Tetapi gangguan lebih kepada fizikal iaitu dengan geletek kakinya dan menekan-nekan kepalanya. Bagaimanapun orang gajinya tidak lagi nampak anak-anak kecil seperti sebelum ini. Cumanya orang gajinya ada bermimpi 3 anak kecil bermain barang mainan anak majikannya di luar rumah. Juga orang gajinya bermimpi Nampak dua orang lelaki sedang bersolat berjamaah. Imamnya berbadan gemuk dan besar manakala makmumnya berbadan sederhana.

Semasa di rumah beliau, saya meminta izin tuan rumah untuk meminjamkan badannya sebagai medium interaksi saya dengan jin bunian berkenaan. Setelah saya membacakan beberapa potongan ayat Al-Quran, saya memanggil ketua jin bunian lantas saya menarik sesuatu di tangan saya dan terus saya raupkan ke muka En A. Saya memberikan salam dan jin dalam badan En A menjawab salam.

Saya bertanya adakah kamu ketua jin bunian? Jin menjawab bukan. Aku adalah jin sihir dari pejabatnya, jawab jin. Untuk pengetahuan pembaca, memang saya ada merawat gangguan sihir ke atas bisnes En A.

Jin sihir ini bukan keutamaan saya saat itu. Cuma saya bertanyakan adakah dia Nampak perkampungan bunian di situ. Jin memberitahu memang wujud perkampungan bunian di kawasan itu. Dan jin menunjukkan lokasi masjid bunian yang sama di bahagian dapur rumah seperti yang ditunjukkan oleh jin Ayub dahulu (baca kisah jin Ayub post 'KAOTIM DENGAN JIN BUNIAN' sebelum ini).

Saya mengambil sedikit masa berunding dengan jin sihir ini. Jin ini memberitahu dia dihantar oleh bomoh perempuan bernama Kak L. Dan kumpulan jin ini telah lama berada di pejabat En A sejak tahun 2006. Agak panjang dan rumit kisah jin sihir ini dan tidak saya berhajat memuatkannya dalam post kali ini. Cuma jin ini agak payah untuk diIslamkan kerana terlalu takut dengan Kak L.

Bagaimanapun setelah saya mengasah tangan kanan saya menjadi ‘pedang samurai’, jin mula bersedia untuk mengucap syahadah (mungkin risau takut saya apa-apakannya dengan pedang tersebut). AlhamdulilLah, selesai jin mengucap syahadah segalanya berjalan lancar. Jin ini saya berikan nama Muhammad dan Muhammad membersihkan semua barang sihir pada badan En A dan kemudiannya Muhammad saya pindahkan ke Madinah. Selesai masalah jin sihir dengan izin Allah SWT. En A sedar.

Setelah berehat seketika, En A bersedia untuk sesi dengan jin bunian pula. Saya memulakan bacaan ayatul Quran dan memanggil ketua jin bunian. Saya memberi salam setelah meraup muka En A. Jin menjawab salam saya. Saya bertanyakan adakah kamu ketua jin bunian di sini? Jin mengaku sebagai ketua jin bunian bernama Ibrahim bin Awang Kecik. Ibrahim memberitahu umurnya hampir 90 tahun.

Saya memulakan rundingan dan Ibrahim bersetuju untuk memberitahu penduduk yang tinggal dalam kawasan rumah En A agar tidak mengganggu lagi orang gaji En A. Ibrahim juga memberitahu, Jemaah solat yang orang gaji En A mimpi adalah orang masjid bunian di kawasan dapur rumah En A. Yang gemuk itu adalah tuan imam bernama Abdullah dan seorang lagi adalah bilal. Budak-budak kecil yang orang gaji mimpi juga adalah bunian kanak-kanak kawasan rumah En A. Ibrahim juga memberitahu, mata orang gaji En A adalah anugerah Allah SWT untuk nampak makhluk halus.

Selesai sesi rundingan, saya meminta Ibrahim keluar dari tubuh En A dan En A sedar. Saya nasihatkan orang gaji En A, agar jangan takut dengan keadaan gangguan itu lagi. Jika ada berlaku lagi, hanya beritahu ‘jangan kacau saya, pergi main jauh-jauh’. Cakap dengan baik kerana mereka juga beriman kepada Allah SWT dan masih kebudak-budakan.


AlhamdulilLah semoga masalah En sekeluarga selesai.

Friday, 24 January 2014

KAOTIM DENGAN JIN BUNIAN !!


Baru-baru ini saya hadir ke sebuah rumah di kawasan perumahan elit di Sg Merab Kajang. Rumah ini pernah saya pagar daripada gangguan makhluk halus. Kedatangan semula saya ke rumah itu berikutan orang gaji dalam rumah itu masih ternampak kelibat budak yang sama sebelum saya pagarkan rumah ini dahulu.

Saya asyik terfikir apakah jenis jin yang masih boleh tembus masuk ke dalam rumah walaupun saya telah pagar rumah ini. Sampai sahaja ke rumah, terus saya soal-siasat orang gaji terlibat. Maklumat yang saya dapat, beliau kadang-kadang ternampak seorang budak lelaki dalam usia bawah 10 tahun asyik menarik langsir tingkap biliknya. Dan kekadang ternampak budak ini bermain di ruang tamu rumah. Terkini, beliau nampak dalam mimpi budak yang sama merangkak di atas bumbung rumah untuk masuk ke dalam rumah.

Saya terus ke bilik orang gaji ini bersama tuan rumah iaitu En A. Setelah saya masuk ke dalam bilik orang gaji ini terus saya sendawa berkali-kali. Ini menandakan kehadiran makhluk halus! Saya lantas menutup tingkap bilik yang kerap berlaku penampakan dengan tujuan menghalang makhluk ini daripada keluar.

Saya berbincang dengan En A untuk meminjam tubuh beliau sebagai medium untuk saya berinteraksi dengan jin berkenaan. En A setuju. Saya minta En A untuk duduk melunjur di atas katil sambil memejamkan mata. Kemudian saya membacakan beberapa potongan ayat-ayat suci Al-Quran dan makrifatkan tangan saya menarik jin dalam bilik berkenaan dan meraup ke muka En A dengan niat memindahkan jin berkenaan ke dalam badan En A.

AlhamdulilLah teknik ini berkesan. En A terus menjadi seperti kebudak-budakan dengan berjalan-jalan dan berguling. Awalnya jin ini tidak bercakap tetapi banyak menggunakan bahasa isyarat. Mulanya saya mengesyaki ini jin sihir dan saya mengarahkan jin ini mencari barang sihir yang ada dalam rumah. Jin ini berusaha mencari barang-barang sihir dengan bersungguh-sungguh. Jin ini bagaikan tidak tahu dengan tepat lokasi barang sihir. Habis serumah diselongkar dalam keadaan En A mata terpejam, meraba-raba, berguling dan pelbagai aksi lagi persis kebudak-budakan. Akhirnya dapat jumpa 3 tempat yang ada 'minyak' sihir.

Setelah selesai 'operasi' mencari barang sihir tamat, saya mengarahkan jin ini duduk di ruang tamu rumah. Isteri En A dan orang gaji melihat dengan penuh kehairanan. Saya terus mengajukan pertanyaan kepada jin, kamu boleh cakap? Jin terus menjawab, ya saya boleh cakap!

Saya katakan kepadanya, sebenarnya kamu bukan jin sihir tetapi kamu jin tempatan di sini. Jin menjawab, ya saya jin kawasan sini. Saya bunian dan nama saya Ayub. Mak saya nama Shamsiah bt Ramli. Umur saya baru 8 tahun. Saya jin Islam dan saya solat 5 waktu. Mak saya pun solat 5 waktu. Terang jin bernama Ayub panjang lebar kepada saya.

Dalam perbualan saya dengan Ayub, Ayub memberitahu tadi dia hanya menolong mencari barang sihir kerana simpati dengan keluarga tersebut. Ayub juga memberitahu dia suka berkawan dengan anak lelaki tuan rumah berumur 6 tahun. Barulah saya teringat anak tuan rumah yang amat agresif masa pertama kali saya datang dahulu. Hinggakan ibu bapanya berkata inilah pertama kali anak mereka begitu teruk wataknya saat saya sampai ke rumah mereka. Rupanya masa itu Ayub ada dalam badan anak mereka ini.

Ayub turut memberitahu rumah asal dia dan ibunya adalah di bawah tapak bilik orang gaji. Dan masjid kampung bunian mereka ada dalam rumah tersebut. Ayub juga memberitahu, perempuan bertudung dan berjubah hitam yang orang gaji nampak dalam mimpi itu adalah ibunya.

Macam-macam lagi yang saya bualkan dan tidak saya berhajat untuk detailkan dalam post ini. Cuma akhirnya saya perintahkan Ayub jangan lagi ganggu keluarga ini. Dan Ayub setuju.

AlhamdulilLah selesai 'kaotim', En A sedar dalam keadaan terpinga-pinga.

Patutlah rumah tembus, rupanya jin Islam :)