Baru-baru ini saya dihubungi oleh En A tuan rumah kes jin
bunian yang mengganggu orang gaji di rumahnya. Beliau memaklumkan kepada saya
bahawa orang gajinya diganggu lagi. Tetapi gangguan lebih kepada fizikal iaitu
dengan geletek kakinya dan menekan-nekan kepalanya. Bagaimanapun orang gajinya
tidak lagi nampak anak-anak kecil seperti sebelum ini. Cumanya orang gajinya
ada bermimpi 3 anak kecil bermain barang mainan anak majikannya di luar rumah.
Juga orang gajinya bermimpi Nampak dua orang lelaki sedang bersolat berjamaah.
Imamnya berbadan gemuk dan besar manakala makmumnya berbadan sederhana.
Semasa di rumah beliau, saya meminta izin tuan rumah untuk
meminjamkan badannya sebagai medium interaksi saya dengan jin bunian berkenaan.
Setelah saya membacakan beberapa potongan ayat Al-Quran, saya memanggil ketua
jin bunian lantas saya menarik sesuatu di tangan saya dan terus saya raupkan ke
muka En A. Saya memberikan salam dan jin dalam badan En A menjawab salam.
Saya bertanya adakah kamu ketua jin bunian? Jin menjawab
bukan. Aku adalah jin sihir dari pejabatnya, jawab jin. Untuk pengetahuan
pembaca, memang saya ada merawat gangguan sihir ke atas bisnes En A.
Jin sihir ini bukan keutamaan saya saat itu. Cuma saya bertanyakan
adakah dia Nampak perkampungan bunian di situ. Jin memberitahu memang wujud
perkampungan bunian di kawasan itu. Dan jin menunjukkan lokasi masjid bunian
yang sama di bahagian dapur rumah seperti yang ditunjukkan oleh jin Ayub dahulu
(baca kisah jin Ayub post 'KAOTIM DENGAN JIN BUNIAN' sebelum ini).
Saya mengambil sedikit masa berunding dengan jin sihir ini.
Jin ini memberitahu dia dihantar oleh bomoh perempuan bernama Kak L. Dan
kumpulan jin ini telah lama berada di pejabat En A sejak tahun 2006. Agak
panjang dan rumit kisah jin sihir ini dan tidak saya berhajat memuatkannya
dalam post kali ini. Cuma jin ini agak payah untuk diIslamkan kerana terlalu
takut dengan Kak L.
Bagaimanapun setelah saya mengasah tangan kanan saya menjadi
‘pedang samurai’, jin mula bersedia untuk mengucap syahadah (mungkin risau takut saya apa-apakannya dengan pedang tersebut). AlhamdulilLah,
selesai jin mengucap syahadah segalanya berjalan lancar. Jin ini saya berikan
nama Muhammad dan Muhammad membersihkan semua barang sihir pada badan En A dan
kemudiannya Muhammad saya pindahkan ke Madinah. Selesai masalah jin sihir
dengan izin Allah SWT. En A sedar.
Setelah berehat seketika, En A bersedia untuk sesi dengan
jin bunian pula. Saya memulakan bacaan ayatul Quran dan memanggil ketua jin bunian.
Saya memberi salam setelah meraup muka En A. Jin menjawab salam saya. Saya
bertanyakan adakah kamu ketua jin bunian di sini? Jin mengaku sebagai ketua jin
bunian bernama Ibrahim bin Awang Kecik. Ibrahim memberitahu umurnya hampir 90 tahun.
Saya memulakan rundingan dan Ibrahim bersetuju untuk
memberitahu penduduk yang tinggal dalam kawasan rumah En A agar tidak
mengganggu lagi orang gaji En A. Ibrahim juga memberitahu, Jemaah solat yang
orang gaji En A mimpi adalah orang masjid bunian di kawasan dapur rumah En A.
Yang gemuk itu adalah tuan imam bernama Abdullah dan seorang lagi adalah bilal.
Budak-budak kecil yang orang gaji mimpi juga adalah bunian kanak-kanak kawasan
rumah En A. Ibrahim juga memberitahu, mata orang gaji En A adalah anugerah
Allah SWT untuk nampak makhluk halus.
Selesai sesi rundingan, saya meminta Ibrahim keluar dari
tubuh En A dan En A sedar. Saya nasihatkan orang gaji En A, agar jangan takut
dengan keadaan gangguan itu lagi. Jika ada berlaku lagi, hanya beritahu ‘jangan
kacau saya, pergi main jauh-jauh’. Cakap dengan baik kerana mereka juga beriman
kepada Allah SWT dan masih kebudak-budakan.
AlhamdulilLah semoga masalah En sekeluarga selesai.
No comments:
Post a Comment