f

f

Friday 24 January 2014

KAOTIM DENGAN JIN BUNIAN !!


Baru-baru ini saya hadir ke sebuah rumah di kawasan perumahan elit di Sg Merab Kajang. Rumah ini pernah saya pagar daripada gangguan makhluk halus. Kedatangan semula saya ke rumah itu berikutan orang gaji dalam rumah itu masih ternampak kelibat budak yang sama sebelum saya pagarkan rumah ini dahulu.

Saya asyik terfikir apakah jenis jin yang masih boleh tembus masuk ke dalam rumah walaupun saya telah pagar rumah ini. Sampai sahaja ke rumah, terus saya soal-siasat orang gaji terlibat. Maklumat yang saya dapat, beliau kadang-kadang ternampak seorang budak lelaki dalam usia bawah 10 tahun asyik menarik langsir tingkap biliknya. Dan kekadang ternampak budak ini bermain di ruang tamu rumah. Terkini, beliau nampak dalam mimpi budak yang sama merangkak di atas bumbung rumah untuk masuk ke dalam rumah.

Saya terus ke bilik orang gaji ini bersama tuan rumah iaitu En A. Setelah saya masuk ke dalam bilik orang gaji ini terus saya sendawa berkali-kali. Ini menandakan kehadiran makhluk halus! Saya lantas menutup tingkap bilik yang kerap berlaku penampakan dengan tujuan menghalang makhluk ini daripada keluar.

Saya berbincang dengan En A untuk meminjam tubuh beliau sebagai medium untuk saya berinteraksi dengan jin berkenaan. En A setuju. Saya minta En A untuk duduk melunjur di atas katil sambil memejamkan mata. Kemudian saya membacakan beberapa potongan ayat-ayat suci Al-Quran dan makrifatkan tangan saya menarik jin dalam bilik berkenaan dan meraup ke muka En A dengan niat memindahkan jin berkenaan ke dalam badan En A.

AlhamdulilLah teknik ini berkesan. En A terus menjadi seperti kebudak-budakan dengan berjalan-jalan dan berguling. Awalnya jin ini tidak bercakap tetapi banyak menggunakan bahasa isyarat. Mulanya saya mengesyaki ini jin sihir dan saya mengarahkan jin ini mencari barang sihir yang ada dalam rumah. Jin ini berusaha mencari barang-barang sihir dengan bersungguh-sungguh. Jin ini bagaikan tidak tahu dengan tepat lokasi barang sihir. Habis serumah diselongkar dalam keadaan En A mata terpejam, meraba-raba, berguling dan pelbagai aksi lagi persis kebudak-budakan. Akhirnya dapat jumpa 3 tempat yang ada 'minyak' sihir.

Setelah selesai 'operasi' mencari barang sihir tamat, saya mengarahkan jin ini duduk di ruang tamu rumah. Isteri En A dan orang gaji melihat dengan penuh kehairanan. Saya terus mengajukan pertanyaan kepada jin, kamu boleh cakap? Jin terus menjawab, ya saya boleh cakap!

Saya katakan kepadanya, sebenarnya kamu bukan jin sihir tetapi kamu jin tempatan di sini. Jin menjawab, ya saya jin kawasan sini. Saya bunian dan nama saya Ayub. Mak saya nama Shamsiah bt Ramli. Umur saya baru 8 tahun. Saya jin Islam dan saya solat 5 waktu. Mak saya pun solat 5 waktu. Terang jin bernama Ayub panjang lebar kepada saya.

Dalam perbualan saya dengan Ayub, Ayub memberitahu tadi dia hanya menolong mencari barang sihir kerana simpati dengan keluarga tersebut. Ayub juga memberitahu dia suka berkawan dengan anak lelaki tuan rumah berumur 6 tahun. Barulah saya teringat anak tuan rumah yang amat agresif masa pertama kali saya datang dahulu. Hinggakan ibu bapanya berkata inilah pertama kali anak mereka begitu teruk wataknya saat saya sampai ke rumah mereka. Rupanya masa itu Ayub ada dalam badan anak mereka ini.

Ayub turut memberitahu rumah asal dia dan ibunya adalah di bawah tapak bilik orang gaji. Dan masjid kampung bunian mereka ada dalam rumah tersebut. Ayub juga memberitahu, perempuan bertudung dan berjubah hitam yang orang gaji nampak dalam mimpi itu adalah ibunya.

Macam-macam lagi yang saya bualkan dan tidak saya berhajat untuk detailkan dalam post ini. Cuma akhirnya saya perintahkan Ayub jangan lagi ganggu keluarga ini. Dan Ayub setuju.

AlhamdulilLah selesai 'kaotim', En A sedar dalam keadaan terpinga-pinga.

Patutlah rumah tembus, rupanya jin Islam :)

No comments:

Post a Comment