f

f

Sunday 13 October 2013

SIHIR ULAR API!


Khamis minggu lepas saya menerima tetamu dari Negeri Sembilan. Satu keluarga bersama 4 anak yang masih kecil lagi.

Pasangan suami isteri ini adalah usahawan kuih-muih tradisional. Mereka telah lama mengusahakan perusahaan ini dan berjaya membuka beberapa cawangan menjual produk mereka. Bagaimanapun, perusahaan mereka lama kelamaan merosot dan boleh dikatakan jatuh bankrap sekarang.

Selain masalah perniagaan, pasangan ini juga mengalami masalah sakit misteri dan situasi sesama ahli keluarga yang kekadang panas. Si isteri menyelamatkan keadaan dengan membuka gerai jualan makanan di tepi jalan demi membantu ekonomi keluarga. Si isteri juga kerap mendesak si suami agar berubat cara Islam dan bukan dengan cara selain Islam. Rupanya si suami telah lama menyimpan nombor telefon saya tetapi langsung tidak ingat untuk menghubungi saya sampailah si isteri menyuruh suaminya mencari mana2 perawat untuk membantu.

Saya bertanyakan kepada si suami berkaitan mimpi yang pernah dialaminya dalam sesi interview. Si suami menceritakan beliau kerap bermimpi sungai dan banjir. Bahkan si isteri turut sama bermimpikan perkara yang sama. Selain itu, si suami juga kerap merasa sakit di bahagian bahunya. Saya juga menyedari anak lelaki kedua mereka ada masalah kulit seperti kudis dan sisik.

Saya mulakan sesi ruqyah kepada si suami dan selang 20 minit berlaku kerasukan jin. Bagaimanapun si suami hanya 50% sahaja terasuk. Saya memulakan sesi interview dengan jin. Jin mengaku jin sihir. Saya memulakan sesi dakwah kepada jin dan akhirnya jin memeluk Islam dan saya hantar ke tempat suci.

Selesai merawat si suami, saya menambah lagi maklumat berkaitan permasalahan pasangan ini sehingga sampai kepada isu2 yang berlaku dalam rumah. Saya mencadangkan kepada si isteri untuk membuka hijab matanya dan melakukan perjalanan ke rumah mereka untuk melihat jenis gangguan yang berlaku. Si isteri agak keberatan, bagaimanapun beliau setuju juga akhirnya demi memulihkan permasalahan mereka.

Dengan izin Allah SWT, saya berjaya membuka hijab mata si isteri dan beliau terus pergi ke rumahnya. Kepalang terkejut apabila beliau mendapati ada seekor ular api yang besar tanpa kepala dan ekor sedang melingkar di luar tepi tingkap bilik tidur beliau dan suaminya. Beliau amat ketakutan apabila ular bagaikan tahu kehadirannya dan seperti mengancamnya. Saya meminta si isteri bersabar dan jangan takut. Lantas saya membacakan beberapa ayat Allah SWT dan memberi panduan kepada si isteri untuk menghalau ular api tersebut. AlhamdulilLah, ular api itu berjaya dihalau keluar. Bagaimanapun ular itu hanya berada seperti menunggu sahaja di luar pagar rumah.

Saya kemudian mengarahkan si isteri masuk ke dalam rumah untuk memeriksa. Bagaimanapun tiada makhluk lain yang ditemui. Kemudian saya mengarahkan si isteri memeriksa gerai tepi jalannya dan tiada apa2 yang ditemui termasuk barang sihir. Kemudian saya mengarahkan si isteri memeriksa badan anak keduanya luar dan dalam. Beliau mendapati dalam badan anaknya terdapat banyak keladak2 hitam terutama di bahagian otak dan perut. Beliau juga mendapati hati anaknya bengkak. Dan lebih memeranjatkan kulit anaknya persis sama seperti kulit ular api di rumahnya! Patutlah kulit anaknya bermasalah seperti bersisik.

Saya menamatkan perjalanan rohani si isteri dan menutup semula hijab matanya dengan izin Allah SWT. Saya memberikan beberapa amalan untuk diamalkan mereka di rumah dan beberapa ayat benteng diri termasuk ayat membalas sihir untuk menyerang semula.

No comments:

Post a Comment